Pusat Latihan Pembedahan Termaju Di Bangunkan Di PPUKM

Khamis, 30 Ogos 2012 00:00
Cetak PDF

By Shahfizal Musa
Foto ASSC

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2012 - Menjelang akhir tahun pakar bedah dari rantau ini berpeluang mendapatkan latihan pembedahan lubang kunci termaju di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju (ASSC) setinggi lima tingkat, bertempat di PPUKM di Cheras di sini akan dilengkapi dengan teknologi terkini dalam pembedahan teknik lubang kunci menjadikannya pusat latihan pembedahan yang pertama seumpamanya di rantau ini.

“Apabila beroperasi sepenuhnya, Malaysia boleh menjadi hab latihan doktor di rantau ini menggunakan teknologi pembedahan termaju terutamanya dalam bidang pembedahan teknik invasi minima,” kata Pengarahnya, Profesor Madya Dr Hanafiah Harunarashid.

Dr Hanafiah awal bulan ini telah dilantik sebagai penasihat kepada Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) di United Kingdom untuk membantu mereka menyediakan latihan di rantau ini.

ASSC akan melatih pakar bedah melakukan pembedahan invasi minima yang juga dikenali sebagai pembedahan lubang kunci. Ia merupakan teknik pembedahan yang agak baru di mana pakar bedah melakukan pembedahan tanpa perlu melakukan potongan besar pada badan pesakit.

Dengan hanya potongan sekecil 5mm, sebuah teleskop dengan kamera akan dimasukkan ke dalam badan pesakit melalui potongan itu. Kamera itu dapat memberi visual bahagian dalam badan pesakit dengan gambar videonya dipancarkan ke skrin televisyen. Satu atau dua potongan yang bersaiz sama akan dibuat untuk memasukkan alat pembedahan.

Menggunakan alat pembedahan tersebut, pakar bedah dapat melakukan pembedahan ke atas organ dalaman pesakit. Berdasarkan visual yang dipancarkan ke skrin tv, pakar bedah boleh mengawal alat pembedahan untuk menstabilkan organ, memotong, mengeluarkan dan menjahit tanpa membuat hirisan yang panjang pada badan pesakit.

Hanya dua atau tiga hirisan kecil diperlukan. Hasilnya pesakit akan lebih cepat sembuh. Ia juga mengurangkan kesakitan dan tidak meninggalkan kesan parut potongan yang menonjol kerana tidak terdapat hirisan yang panjang.

ASSC lebih bertujuan untuk melatih para pakar bedah dalam  pembedahan kompleks seperti mengeluarkan pankreas dan bukan hanya pembedahan rutin mengunakkan teknik lubang kunci seperti hernia dan batu karang.

Pakar bedah biasanya dilatih di bawah program penempatan (Residency) di hospital di bawah penyeliaan pakar bedah yang bertauliah. Mereka akan melakukan pembedahan ke atas pesakit yang memerlukan rawatan.

Penempatan ataupun Residency adalah masa yang amat mencabar bagi mereka yang ingin menjadi pakar bedah. Ia merupakan peralihan daripada seorang pelajar kepada seorang pakar bedah.

Dalam keadaan dunia sekarang dengan pesakit lebih peka ada di antara mereka yang tidak membenarkan pelatih turut serta dalam pembedahan ke atas mereka.



Satu lagi masalah ialah jumlah pelatih semakin meningkat dan ini menyukarkan mereka menyerap sesuatu prosedur yang ditunjukkan, kata Dr Hanafiah.

Salah satu keistimewaan ASSC, ialah masalah itu dapat dielakkan kerana ia diwujudkan hanya untuk latihan. Tidak ada pesakit ditempatkan di situ. Terdapat hanya doktor bedah yang ingin dilatih dalam teknik pembedahan lubang kunci yang rumit. Ini menghindarkan kebanyakan masalah yang wujud dalam latihan konvensional.

Ia juga mengelakkan pesakit menjadi medan latihan bagi pelatih yang ingin memahirkan diri mereka sebagai pakar bedah. 

“Di ASSC doktor bedah boleh berlatih dan cuba menjalankan prosedur tertentu sebanyak mungkin bagi menajamkan kemahiran mereka, hanya selepas itu mereka dibenarkan melakukannya ke atas pesakit,” kata Dr Hanafiah.

Para doktor dan pakar bedah telah dilatih dengan kaedah praktikal sejak sekian lama. Ilmu yang ditimba akan lebih berkesan apabila mereka mempraktikkan apa yang dipelajari dalam situasi yang sebenar. Ini termasuk bertemu pesakit, membuat diagnosis dan melakukan pembedahan ke atas pesakit.

“Dengan peningkatan jumlah pelatih pembedahan, kita memerlukan pusat latihan yang bersesuaian bagi abad ini. ASSC menjadi tempat di mana pakar bedah dapat dilatih sehingga mencapai kemahiran yang sempurna dan pada masa yang sama dapat mengelakkan latihan dipraktikkan ke atas pesakit sebenar”, kata Dr Hanafiah .

Melalui teknologi terkini, pelatih di ASSC akan berlatih menggunakan kadaver (mayat yang disumbangkan untuk tujuan penyelidikan dan kemajuan sains) dan binatang hidup serta replika badan dan tubuh manusia.

Dengan cara ini pelatih dapat mempraktikkan kemahiran mereka ke atas spesimen dan kadaver, tanpa membahayakan nyawa pesakit.

Terdapat juga replika tubuh badan dan organ manusia di mana latihan dapat dijalankan tanpa memudaratkan sesiapa.

Tambahan pula latihan di ASSC yang tidak melibatkan nyawa manusia, membolehkan mereka lebih fokus dan tenang. Ini akan menjadikan mereka pakar bedah yang lebih baik apabila mereka membuat pembedahan ke atas pesakit.

ASSC akan dilengkapi dengan OR 1 sebuah bilik pembedahan menggunakan teknologi terkini. Ia adalah sebuah bilik bedah untuk pembedahan laparoskopi kompleks. Ia membolehkan pakar bedah mengendalikan hampir semua kerja hanya dengan menyentuh skrin komputer.

Dilengkapi dengan kemampuan persidangan video, ia membolehkan pakar bedah bekerjasama semasa sesuatu pembedahan tanpa perlu berada dalam bilik bedah .

Kelengkapan OR1 yang bernilai lebih RM6 juta disumbangkan oleh Karl Storz, sebuah syarikat alat perubatan dan pembedahan.

ASSC akan dilengkapi dengan makmal kering, makmal lembab, bilik bedah haiwan, makmal kadaver, makmal kemahiran khas, simulator dan endo-trainers apabila beroperasi sepenuhnya.

Dengan tertubuhnya ASSC Malaysia mempunyai pusat latihan seumpama yang terbesar di rantau ini.

“Kita akan berada di hadapan dalam latihan pembedahan terutamanya dalam bidang pembedahan invasif minima di rantau ini,” kata Dr Hanafiah.

ASSC mulanya dirancangkan dengan begitu canggih menelan belanja lebih RM60 juta dalam suatu bangunan baru berdepan dengan tasik buatan.

Reka bentuk tersebut mempunyai bilik menonton yang separuh bulat dilengkapi dengan teknologi terkini. Sekiranya reka bentuk tersebut telah dihasilkan ia akan menjadikan ASSC salah sebuah pusat latihan yang termoden, dengan mengekalkan anatomi klasik bilik kuliah.

Walau bagaimanapun dengan dana yang terhad reka bentuk tersebut telah diubahsuai bagi mengurangkan kos.

PPUKM kemudiannya mengubah suai hostel jururawat dijadikan sebagai bangunan ASSC dengan dilengkapi berbagai peralatan canggih itu. 

Dr Hanafiah berterima kasih dengan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin kerana usahanya merealisasikan projek itu dan pengasasnya, Profesor Ulung Dr Tan Hock Lim kerana sumbangan membangunkan ASSC.

Dr Hanafiah berkata walau pun telah diberikan dana bantuan oleh kerajaan dan universiti, ASSC tetap memerlukan dana tambahan untuk membolehkannya beroperasi pada potensi yang optimum.

Beliau mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk membantu ASSC dengan memberikan sumbangan untuk menjadikannya salah satu pusat latihan pembedahan yang terbaik di dunia.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita